Kumbang Khapra ( Khapra beetle ), nama saintifiknya Trogoderma granarium merupakan sejenis perosak simpanan bijirin ( Pest of Stored Product) yag berasal dari Asia Selatan. Bermula di India kemudiannya merebak ke Negara Mediterranean, Timur Tengah, Afrika dan Asia.
Kumbang Khapra gemar kepada cuaca panas dan kering dan mudah dijumpai di tempat-tempat simpanan bijirin seperti beras, gandum, jagung dan juga tempat simpanan guni-guni jut terpakai.
Serangan akan menyebabkan bijirin akan menjadi hancur antara 5-30% dan boleh mencapai 70% jika serangan teruk. Di Malaysia, kes serangan adalah berpunca dari penggunaan guni-guni terpakai yang tidak di fumigasi sebelum dijual kepada kilang-kilang beras. Serangan kumbang khapra agak sukar untuk dikawal kerana kumbang mampu hidup tanpa makanan dalam jangkamasa yang panjang dan kebal kepada racun serangga. Kawalan berkesan dengan menggunakan kaedah fumigasi sahaja.
Larva berukuran antara 1.6 - 1.8mm berwarna kuning keputihan ( yellowish white ) pada abdomennya dan kepala berwarna coklat ( brown ) dan mempunyai ekor dan badan yang berbulu. Warna larva akan bertukar kepada warna keemasan ( golden ) atau perang apabila membesar dan pertumbuhan bulu di abdomen akan bertambah . Larva yang matang berukuran 6mm panjang dan 1.5mm lebar. Larva memakan semua bijirin seperti beras, gandum, barli, kekacang , jagung dan sebagainya.
Serangan kumbang khapra akan menjejaskan ekspot komoditi ke luar negara dan mendatangkan kerugian kepada banyak pihak dan negara.